Nama anak Mak Teh

6.7.15


Assalamualaikum.
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.


Aku dah lama tak jumpa anak buah aku, asal balik kampung je dorang dah balik rumah. Rindu sikit la terutamanya si kecik, nisa. Nampak jantan tapi muka ayu. Hari tu aku balik kampung awal sikit. Dapat la jumpa dorang berdua, Dina dan Husna aka Alia. Aku suka buat aksi pelik-pelik sikit. Aku nak bagi kakak (Dina) gelak gembira sebab jarang aku tengok dia gelak. Iya la pergi sekolah asyik kena buli je.

Heee~ Kesian. Biasalah tu budak zaman sekarang asal gaduh sikit tak nak kawan. Asal lemah sikit, kena ejek. Sama la macam aku dulu. Tapi aku ni jenis hati kering lantak kau la nak cakap apa pun ada aku kisah?? Tak nak kawan sudah sebab sepanjang aku sekolah tak ada lagi aku rasa tak ada kawan walaupun aku ni pendiam macam mulut ada batu permata. Jangan tak tahu sekolah menengah dari form1-5 yang jadi kawan baik aku semua yang fofular dan cantik meletops. Bongkak betul ayat timah kan??

Berbalik cerita tadi, Dina asyik suruh aku buat benda yang sama berulang kali. Dia cakap makteh ni kelakar la buat la lagi. Aku tak boleh la buat aksi 'tak boleh blah' tu dua kali rasa macam fake sangat. Hahaha. Sekali cukup. Baru rare sikit. Kalau bakal mak mertua aku nampak perangai gila aku, aku rasa dia akan mimpi ngeri. Alia nampak cincin kat tangan aku. 

"Ni sapa bagi pakwe makteh ke??" 
"Tak ada lah ni bakal suami bagi, Pakwe-pakwe tak main lah."
"Mak teh dah nak kawen eaaa...."
"Haah la..Nanti mak teh dah kawen dapat anak, nama anak makteh Rabiatul Adawiyah"

Jadi bermula la aksi pelik aku yang membuatkan dorang geli hati. Terkekek gelak. Padahal aku buat-buat menggelupur pengsan sambil buat muka tak cantik. Perangai yang ni aku berani tunjuk kat budak kecik je yang dah besar memang tak la. Malu aku. Minggu yang seterusnya aku balik kampung, yang ada kat rumah cuma umairah. Dok sembang-sembang dia tanya:

"Mak teh.. husna kata makteh dah ada anak. Nama anak makteh Robiantu Hanafiah..."

Aku tergelak. Jauh sangat. Nama tu aku pilih sebab aku suka dengan kisah hidup Rabiatul Adawiyah yang mana hidup dan matinya hanya untuk Allah SWT. Sentiasa rindu untuk bertemu dengan Kekasih yang paling dicintainya iaitu Allah SWT. Wanita solehah yang memilih tidak berkahwin dan meninggalkan segala kemewahan dunia kerana cintanya kepada Allah SWT melebihi segala-galanya. 

"Bukan Robiantu Hanafiah, tapi Rabiatul Adawiyah.."
"Eee husna ni tipu je. Ingat anak makteh tu hantu ke??Haha.."
"Tu la. Hee. Husna tu kan memang macam tu."

Bila sebut pasal anak ni, jauh lagi sebenarnya perjalanan hidup aku. Aku pun tak tahu panjang lagi ke umur aku untuk mengecapi bahagia dengan seorang lelaki yang bernama suami dengan adanya permata-permata hati aku. Kalau ditakdirkan aku berkahwin sekalipun aku tak tahu samada Allah bagi rezeki anak cepat atau lambat. Ada atau tidak. Sempurna atau kurang sempurna. Sihat walafiat atau sakit. Allah menguji hamba-Nya dengan pelbagai cara. Bagi kawan-kawan aku yang dah lama berkahwin tapi masih tak dapat rezeki zuriat, sabarlah. 

Setiap yang berlaku ada tujuan Allah merencanakan perjalanan hidup kita sebegitu. Jangan berputus asa. Teruskan berusaha. Bila dah dapat anak walaupun seorang sekalipun, didik anak jadi insan yang berkualiti. Jangan ramai anak tapi serupa macam tak ada anak, yang akhirnya rumah orang tua tempat tinggal kita. Didiklah anak dengan ilmu akhirat supaya bila kita dah tak ada nanti, zuriat kita tu nantilah yang akan mendoakan kita. Oh ya sebelum nak didik anak, selidiki diri adakah anda dapat menjadi role model untuk anak-anak?? Kalau belum bersedialah dari sekarang ye.

Ok lah Selamat Berbuka Puasa. 

As Salam.

Beza Bercinta dan Berkahwin

12.6.15


Assalamualaikum.
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.


Sebut sahaja tentang perkahwinan, terlalu banyak masalah rumahtangga yang berakhir dengan perceraian. Kenapa jadi begitu?? Kerana kita tak kenal dengan siapa kita bercinta. Yakinkah yang anda sangat mengenali pasangan anda semasa bercinta??

Merajuk

*Bercinta : 
Katalah semasa bercinta lelaki sanggup memujuk kekasih yang merajuk. Bersungguh-sungguh memohon maaf apabila melakukan kesalahan. Ada juga lelaki yang sanggup memandu dari utara ke selatan semata-mata memujuk si kekasih hati. Kenapa? kerana apabila anda merajuk, hatinya rasa tidak tenang asyik terfikirkan anda. Anda juga akan mula diam seribu bahasa. Panggilan telefon tidak diangkat dan pasti juga mesej tidak akan dibalas. Dan mungkin juga anda langsung tidak mahu bertemu dengannya. Pasti mereka tertekan bukan?? 

*Berkahwin :
Tetapi jangan terkejut selepas sahaja anda berkahwin, sesi pujuk memujuk seperti zaman bercinta dahulu anda tidak akan merasainya lagi. Kenapa? Apabila anda merajuk suami akan memujuk anda hanya untuk beberapa kali sahaja. Sekiranya anda masih lagi merajuk, dia akan membiarkan anda melayan rajuk sendiri kerana pasangan anda tahu, anda tidak akan merajuk dalam jangka masa yang panjang. Anda sentiasa ada di depan matanya. Berapa lama anda mahu merajuk sekiranya anda sudah duduk sebumbung dengannya setiap hari?? Jadi jangan anggap suami anda telah berubah. Semasa bercinta dan berkahwin tidak akan sama. 


Romantik

*Bercinta :
Sudah menjadi lumrah semasa bercinta, pasangan akan lebih memberi perhatian terhadap anda. Sentiasa romantik dan memahami. Si dia akan sedaya upaya  menjadi lelaki yang terbaik dari semua segi. Mereka akan menunjukkan personaliti yang menarik semata-mata untuk memikat hati anda. Ini kerana akan wujud satu perasan "insecure' terhadap perhubungan anda berdua. Disebabkan itulah pasangan anda akan menunjukkan sikap yang mungkin bertentangan dengan sikapnya yang sebenar. Sekiranya dia tidak berusaha bagi menawan hati anda silap haribulan anda akan menjadi milik orang lain. Semasa bercinta, gembiranya hati apabila diberikan hadiah yang paling istimewa dari kekasih hati berserta sekeping kad dengan bait-bait kata yang menggetar jiwa wanita. Kad yang dinukilkan dengan wangian bedak semerbak harum, ditambah pula dengan sejambak bunga khas untuk anda dengan hati yang ikhlas, suci dan murni.

Sebelum mendirikan rumah tangga, jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis dan pujuk rayu seorang lelaki. Tidak mustahil dia melakukan perkara yang sama kepada wanita lain. Cinta itu bukan dengan meluahkan kata pujangga cinta dengan ayat-ayat manis. Bukan dengan membawa anda kesana kemari tanpa keizinan wali dan bersama mahram anda. Bukan juga dengan menyentuh anda tanpa segan silu kononnya untuk menunjukkan cinta dan kasih sayang. Tetapi cinta yang benar adalah apabila si dia sedia melindungi dan menghormati maruah anda, sentiasa memberi dan menerima nasihat serta teguran yang baik untuk sama-sama memperbaiki diri, si dia juga akan berusaha mempersiapkan diri dengan ilmu agama dan ilmu rumah tangga, demi menggalas tugas sebagai pemimpin dan imam yang baik apabila berkahwin kelak.

*Berkahwin :
Tetapi setelah sahaja anda mendirikan rumah tangga jangan terasa hati apabila suami anda tidak lagi menunjukkan sikap romantik sepertimana ketika bercinta. Setelah melalui fasa perkahwinan, mereka sudah berada di zon selesa kerana anda kini sudah dimiliki. Tiada lagi kad cinta dengan kata-kata yang bisa menggetarkan jiwa anda, tiada lagi sejambak bunga mawar yang indah lagi mekar, tiada lagi hadiah istimewa sekiranya bukan bersempena ulangtahun kelahiran mahupun ulangtahun perkahwinan. Mungkin juga ada antara mereka sudah melupakan tarikh-tarikh penting. 

Walaubagaimanapun lelaki yang sangat menghargai isteri tidak akan pernah lupa melakukan sesuatu yang romantik untuk si isteri, walaupun bukan dengan sejambak bunga, kad ataupun hadiah istimewa, tetapi mereka sedia menjadi pendengar setia ketika isteri mengadu masalah, sabar mendengar bebelan isteri ketika mereka marah, sentiasa menenangkan jiwa ketika isteri bersedih hati, murah dengan ucapan terima kasih atas bantuan dan pengorbanan isteri menjaga keperluan diri dan keluarga, hartanya serta mendidik anak-anak, tidak lokek dengan pujian khas untuk isteri tersayang, tidak ego mengucapkan kata maaf sekiranya melakukan kesalahan dan tidak lupa untuk meluahkan perasaan cinta dan kasih sayang walaupun hanya dengan menyebut 8 perkataan iaitu "I Love You".


Penampilan diri

*Bercinta :
Normal bagi wanita menjaga kecantikan diri dan berpenampilan menarik. Setiap kali keluar bertemu kekasih hati, wanita akan berdandan dengan cantik dan memakai pakaian yang paling anggun untuk tatapan si kekasih hati. Cara berjalan, cara bercakap, cara duduk dan cara makan juga dititikberatkan apabila berada di sisi kekasih. Selalunya wanita akan makan dengan gaya adab sopan, duduk dengan posisi yang paling menarik, bercakap dengan nada yang sangat manja serta berjalan dengan lenggok yang begitu menawan. Adakah lelaki akan tertarik dengan wanita yang selekeh?? yang kasar bahasanya?? yang berjalan ala tomboi?? yang duduk dengan posisi 'terbuka'?? yang makan dengan banyaknya?? Sedangkan lelaki itu sendiri tertarik dengan kecantikan. Sekiranya wanita tidak menjaga adab sopan dan penampilan, mereka takut kekasih hati akan beralih arah kepada wanita yang lebih cantik dan menarik. Maka terpaksalah mereka menjadi hipokrit. 

*Berkahwin :
Lelaki fahamilah isterimu. Apabila berkahwin, akan pudarnya kecantikan dengan pertambahan usia. Apabila sudah mempunyai anak kebiasaannya wanita tiada masa untuk menguruskan diri sendiri kerana kesibukan mereka menjaga anak kecil yang lasak, ditambah pula dengan tugasnya sebagai ibu dan isteri dan juga sebagai seorang pekerja bagi wanita yang berkerjaya. Wanita yang mengandungkan zuriat akan mengalami pertambahan berat badan. Setelah melahirkan anak bukan mudah untuk mendapat bentuk badan yang ideal seperti zaman anak dara. Kesibukan merupakan punca utama wanita tidak mampu untuk menurunkan berat badan. Jika anda mahu melihat isteri sentiasa langsing dan cantik menawan anda perlu berkorban wang ringgit untuk menghantar isteri ke pusat kecantikan atau untuk cara yang paling mudah anda perlu menjadi pemangkin semangat untuk mereka menguruskan badan dengan melakukan senaman dan bersukan bersama-sama.

Wanita juga bukanlah akan sentiasa manja seperti waktu bercinta dahulu. Dahulu ketika bercinta hanya mampu membuat panggilan dan berjumpa hanya untuk beberapa jam bagi melepaskan rindu. Waktu itu, begitu bahagianya wanita apabila dapat meluahkan segala rindu dendam dengan suara yang manja lagi mengasyikkan. Tetapi apabila berkahwin dan mempunyai anak, kadang kala mereka tertekan dengan tugas dan beban yang berat yang terpaksa mereka pikul. Bebelan merupakan ubat yang paling mujarab untuk melepaskan tekanan yang terbeban di dalam hati mereka. 

Ketika berkahwin akan terserlah semua baik buruk setiap pasangan. Ketika bercinta masih boleh menyembunyikan segala keburukan yang ada. Sekiranya seseorang itu mempunyai tabiat buruk yang mungkin tidak disenangi oleh pasangan tiada apa lagi yang boleh dirahsiakan apabila berkahwin kelak kerana sudah berada di dalam satu bumbung. Jadi setiap pasangan perlu sentiasa berkomunikasi dengan baik. Tegur secara baik perbuatan salah yang dilakukan pasangan dan terimalah setiap kritikan dengan hati yang terbuka. Bagi wanita, walaupun kita telah mendirikan rumahtangga, kita perlu bijak menguruskan rumah tangga. Berilah layanan yang terbaik untuk suami. Jaga penampilan diri untuk sentiasa kemas dan cantik di mata suami. Berusahalah untuk mendapatkan badan yang ideal bukan hanya untuk kecantikan tetapi juga untuk kesihatan dalaman. 

Sikap

*Bercinta :
Anda tidak akan pernah kenal siapa kekasih anda sebenar-benarnya. Adakah dia seorang yang kedekut??pemarah??pendiam??kaki perempuan??kaki judi?? Sebelum membina sesuatu hubungan selidik terlebih dahulu latar belakang orang yang anda suka melalui cara hidupnya, bertanya dengan jiran dan kenalannya, sejarah keluarganya, bagaimana suasana tempat tinggalnya dan juga dengan siapa dia berkawan. Apabila telah membuat penyelidikan dengan terperinci barulah anda boleh mengambil keputusan samada dia sesuai dijadikan teman hidup anda ataupun tidak.

Semasa bercinta seseorang itu boleh berpura-pura dan menjadi hipokrit hanya untuk memikat hati pasangan. Sekiranya dia telah menunjukkan sikap buruk sebelum berkahwin sebagai contoh kaki pukul ataupun kaki perempuan tidak perlulah anda menerima dirinya dengan harapan dia akan berubah suatu hari nanti. Lelaki yang baik tidak akan sesekali mencederakan anda walaupun ketika dia sedang marah. Lelaki yang baik juga tidak akan mudah untuk meluahkan kata-kata romantis kepada ramai wanita. Jangan terlalu ikutkan kata hati dan perasaan cinta dan sayang yang mendalam sehingga buta untuk menilai seseorang untuk dijadikan sebagai bakal suami. Jangan menyesal apabila anda diperlakukan seperti binatang apabila berkahwin dengan pilihan yang salah.

*Berkahwin :
Sebelum berkahwin, dia mungkin melayan anda dengan baik dan dia sedaya upaya untuk menutup perangai buruk yang ada pada dirinya. Tetapi setelah berkahwin, baru anda kenal dengan siapa anda kahwini. Mungkin dialah raksasa dari segala raksasa. Pukul dan makian akan menjadi makanan utama anda setiap hari. Bagi pasangan yang kedekut seperti haji bakhil, terpaksalah anda menggunakan wang anda sendiri untuk melangsaikan segala hutang yang ada. Lelaki yang malas bekerja juga salah satu masalah terbesar dalam kehancuran rumah tangga kerana anda bakal memikul beban yang lebih berat dari tugas anda yang sebenar. Andalah suami dan anda jugalah isteri dan ibu. Hancurnya hati wanita apabila mengetahui lelaki yang dikahwini adalah seorang kaki perempuan. Itulah risiko yang akan anda tempuhi apabila mengahwini lelaki playboy. Dia tidak akan pernah rasa cukup dengan seorang wanita. Mungkin ada yang lebih teruk lagi apabila telah meniduri wanita selain isterinya ketika telah bergelar seorang suami dan bapa kepada anak-anak.


Sebaik-baiknya berkasih sayanglah kerana Allah. Bercinta banyak buruk daripada hal yang baik. Bila hati meruntun rindu syaitan akan mula menjalankan tugasnya dengan baik untuk menggoda kita supaya terus bergelumang dengan dosa dan maksiat. Dia akan jadikan masa bercinta adalah waktu yang paling bahagia dan mengasyikkan. Syaitan akan mengaburi mata kita untuk memandang maksiat sebagai satu perkara yang normal seiring dengan peredaran zaman. Jadi tidak hairanlah jikalau anda akan berjumpa dengan lelaki dan wanita yang tanpa segan silu bercumbu di khalayak ramai. Memilih calon suami/isteri bukan hanya didasari dengan harta, rupa, kedudukan, pangkat dan pendidikannya sahaja. Paling utama sekali yang perlu anda titik beratkan adalah agamanya. Barulah memilih kriteria lain yang ada pada seseorang yang mahu dijadikan suami/isteri.

Sekiranya anda memilih yang beragama, secara tak langsung ia akan memenuhi kriteria yang lain. Sekiranya dia tahu tentang agama dia tidak akan sesuka hati memikat wanita dengan kata-kata manis kerana dalam islam sendiri kita perlu menjaga ikhtilat di antara bukan mahram supaya terhindar diri dari fitnah dah maksiat. Apabila berkahwin kelak mereka akan lebih menghargai dan menghormati anda kerana sebelum ini mereka berusaha menjaga cintanya kepada Allah sebelum menyerahkan sebahagian cintanya kepada anda.


"Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
(Surah An-Nur : Ayat 30)

Lelaki yang faham tentang agama secara tak langsung akan faham hak seorang isteri. Dia akan berusaha bekerja untuk mencari nafkah yang halal dan berkat untuk isteri dan anak-anak. Dia tidak akan sesekali duduk diam di rumah sambil goyang kaki dan hanya mengharapkan isteri yang bekerja dan menanggung semua beban hutang. Mereka juga tidak akan sesekali meminta wang isteri tanpa keizinan isteri dan isteri juga tidak berkewajipan untuk menyerahkan hartanya kepada suami. Di dalam islam sendiri mengatakan dengan jelas melalui Al-Quran dan hadis tentang pemberian nafkah.

"Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka(lelaki) atas sebahagian yang lain(wanita), dan kerana mereka(lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka..."
(Surah An-Nisaa': Ayat 34)

Seseorang yang tahu tentang agama juga akan faham tanggungjawab dan amanah Allah untuk melindungi seorang wanita. Dia akan sentiasa melindungi pasangannya daripada disakiti. Seorang lelaki yang baik dan beragama tidak akan sesekali mengasari, mengeluarkan kata-kata yang kesat dan sentiasa sabar dengan kerenah si isteri. Mereka akan berusaha untuk mencontohi keperibadian Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sentiasa berlemah lembut, penuh kasih sayang dan romantis, tidak pernah meninggikan suara dan marah kepada isteri-isterinya. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

"Orang yang baik antara kamu adalah orang yang paling berlaku baik terhadap isterinya dan akulah orang yang paling baik terhadap isteri dari kalangan kamu." 
(Hadis At-Tirmizi)

Dahulu ada seorang sahabat menghadiahi aku sebuah buku penulisan Ustazah Fatimah Syarha, "Pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul". Terdapat satu petikan ayat yang aku baca memang benar dari penilaian aku.

"Walaupun kita couple dengan seseorang hingga 10 tahun lamanya, kita takkan betul-betul kenal hati budinya kerana apa yang kita nampak ialah lakonan dan sikap hipokrit serta pura-pura pada dirinya. Kita hanya akan kenal seorang pacar, bukan seorang suami/isteri."

 Aku sangat terkesan dengan bait-bait kata dari Ustazah Fatimah Syarha di dalam bukunya : 

"Jika kau belum berkahwin, kejarlah cinta Allah sebelum mengejar cinta lelaki. Tanpa reda Allah, andai dirinya kau miliki sekalipun, kau pasti takkan bahagia. Percayalah. Sia-sia segala usaha yang kau curahkan atas dasar maksiat. Ianya hanya meluputkan berkat daripada hidupmu."

"Berkahwin bukanlah pengakhiran untuk hidup bahagia selama-lamanya tetapi ia merupakan satu permulaan dalam menjalani kehidupan panjang yang penuh liku dan ranjau" 

As Salam.


Sayang Abah. Sayangi Suami.

16.5.15


Assalamualaikum.
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.


Tiba-tiba dalam dua tiga hari ni teringat kat abah. Dah lama tak balik kampung ada la dekat tiga minggu. Rindu kat semua yang ada kat kampung. Bila teringat abah, teringat balik zaman kecik-kecik. Abah nak kata loving memang tak pernah nampak kasih sayang yang terpancar dalam hati dia. Ceh!! Mana-mana perempuan yang dapat suami macam abah aku confirm cakap suami dia tak romantik, tak memahami, bukan pendengar yang baik, pendiam, etc. Serius. Sebenaqnya ni nak habaq mai. Lelaki macam tu susah sangat nak cakap 'I love you' 'I sayang u' tapi dia tunjukkan dari perbuatan yang kadang-kadang kita tak sedar sebenarnya itulah cara dia menunjukkan kasih sayang. 

Masa aku kecik, aku selalu tertidur depan tv. Aku tengok tv, sampai tv pulak yang tengok aku. Selalunya abah akan angkat dan dukung aku letak dalam bilik. Sebelum tu abah akan kemaskan tilam dan bantal sebelum letak aku dalam bilik tidur. Bila aku terbangun aku dah pelik tiba-tiba dah ada dalam bilik sendiri. Ada masa, aku perasan abah akan selimutkan aku masa aku tidur. Mungkin abah fikir aku dah tidur. Sayang betul abah pada anak-anak.

Tapi bila dah besar berat pun dah bertambah. Abah selalu cakap aku dah berat abah tak larat lagi nak angkat. Aku buat jugak perangai lama, sampai satu masa abah dah tak mau angkat dibiarkan aku tidur sorang-sorang dekat depan, memang haru kau. Buka-buka mata dah gelap gelita. Menangis terus sebab masa aku bangun nak ke bilik, kaki aku kebas sampai tak boleh nak berjalan macam orang normal. Bayangkan orang yang fobia gelap berlari ke bilik terhuyung hayang. Masuk je bilik. Debushhh!! terus tidur le. Menangis kejap lepas tu sambung tidur balik. Sejak hari tu kalau aku mengantuk je aku cepat-cepat masuk bilik.

Abah tak pandai masak. Abah tau masak maggi, masak telur goreng dan masak air je. Tapi yang istimewanya abah, abah tak akan makan lauk yang beli kat luar. Abah sanggup suruh masakkan telur goreng, biar dia makan telur goreng je walaupun dalam tudung saji tu dah penuh lauk pauk beli kat luar. Satu hari, abah tanya samada aku nak makan maggi tak. Mestilah nak kan. Orang dah offer katakan. Abah masak maggi kari siap masukkan dalam mangkuk, sudu dan garfu serve untuk aku. Aku baru terfikir nak makan lambat sikit, tiba-tiba abah dah bagi hantar dulu. Aihh rasa bersalah pulak..

"Abah...kenapa abah ambilkan. Siti boleh ambil sendiri.."- aku
"Tak apalah.." - abah

Walaupun abah masakkan maggi kari je tapi aku boleh rasa kasih sayang disitu. Aku makan sampai habis walaupun abah bagi maggi penuh satu mangkuk macam nak bagi dua orang makan. Lagi, abah suka ceritakan cerita dongeng kanak-kanak. Sang kancil dan sang buaya. Setiap malam, setiap kali abah suruh aku dan abang urutkan dia, abah akan ceritakan cerita dongeng yang kadang-kadang tak masuk dek akal. Aku terhibur dengan cerita abah, sama-sama gelak ketawa. Rindu.

Abah aku memang tak banyak cakap. Kalau orang sibuk cerita hal orang lain, dia akan diam je. Dia juga pernah tegur " Buat apa nak sibuk cerita hal buruk pada orang lain?? Nanti kalau kita dah ada anak sendiri apa rasanya kalau anak kita buat jahat dan orang lain pulak mengata kita?? Mesti tak suka kan??"


Kalau mak marah aku, abah akan diam. Kalau abah tau aku menangis. Lepas marah mak reda, abah akan masuk bilik redakan hati aku yang tengah bersedih. "Mak kau letih tu.. jangan buat mak marah." Ada juga abah sengaja nak ambil hati aku. Esok tu abah akan bawa aku ikut dia pergi beli barang. Dia belikan air untuk aku. "Patimah nak minum air apa?? Abah belikan.." Oh ya abah aku tak selalu panggil aku siti, dia suka panggil aku fatimah. Abah jarang marah, kalau dia marah dia akan pujuk balik.

Itulah cara abah menzahirkan kasih sayang walaupun lisan tidak berkata tapi perbuatan telah membuktikan segala. Bila kita ada ayah, hargailah dia. Kadang-kadang aku tak faham kenapa ada anak yang sanggup buang ayah sendiri sedangkan dia dah banyak berkorban tenaga, wang ringgit nak cari nafkah bagi makan, pakai untuk isteri dan anak-anak. Pening mereka nak fikirkan mana nak dapat duit untuk sara keluarga. Bukan ibu je yang kita kena hargai, ayah pun sama jugak.  

Bila kita ada suami apa pun kelemahan dia selagi mana dia tak suruh kita buat sesuatu yang melanggar perintah Allah, kita terimalah suami seadanya. Kadang-kadang jugak aku tak faham kenapa ada isteri yang tak tahan hidup dengan suami hanya disebabkan suami tak romantik atau pendiam?? Nobody perfect right?? Kita hidup bukan semata-mata untuk dunia je. Tapi syurga yang kekal abadi. Kalau kita mampu tahan sikap suami, tetap taat setia walaupun kena herdik sekalipun, InsyaAllah Allah akan balas dekat akhirat nanti. Ada jugak suami yang malu nak sebut perkataan "I Lap U" tapi tau tak jauh disudut hati ada sayang. Betul tak?? Cehh macam tau-tau je hati lelaki.. Hee~

Buat lelaki, jadilah suami yang baik, penyayang dan pemimpin yang bijak. Wanita sukakan perhatian. Dahagakan kasih sayang. Apa jua kelemahan yang ada cuba perbaiki untuk keharmonian rumah tangga. Tapi kalau tetap tak boleh ubah contoh sikap pendiam tak boleh nak berubah jadi ramah tamah sekelip mata, berbincanglah dengan isteri. Cuba sedaya upaya untuk fahami hati wanita. Sentiasalah berfikiran positif. InshaAllah kebahagian akan datang dengan adanya sikap saling bertoleransi, bertolak ansur, memahami dan sentiasa terbuka apabila pasangan menegur sikap kita.

Ok sampai disini saja. As Salam.


Thank you Abang !!

5.5.15


Assalamualaikum.
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.

Tiba masanya menge'post' entry baru setelah lama bermaharajalela dengan kerja- kerja segala bagai. Sabtu lepas tengah bersembang-sembang dengan hati riang bersama keluarga tercinta, abang datang kat ruang tamu dengan tiga kotak yang comel. Hadiah untuk adik-adik tersayang. Abang aku yang sorang ni memang cukup suka bagi hadiah untuk adik-adiknya yang perempuan. Yela perempuan je yang ada, adik lelaki tak ada. Kesian kan.

Taraa.. Dia tunjuk kotak-kotak dia kata sapa nak kena puji dia hensem dulu. 

"Haa sapa nak, puji abang hensem dulu. Doakan panjang umur, murah rezeki, dapat jodoh cepat-cepat ke." Abah, mak dan adik-adik bantai gelak. Geli pulak aku sesi puji memuji ni. Geli-geli pun suka (jangan pikiaq lain na) Heheh~  Aku orang first yang disuruh ambil hadiah. Aku sebenarnya malu nak puji orang. Dengan muka innocent aku cakap " Terima kasih." tapi kena di'ketawakan' bersama pulak. Tak menepati piawaian rupanya ucapan ikhlas aku tu. 

"Abang ijan sangat hensem. Semoga murah rezeki...." Fuyoo pestime ni puji orang macam tu. Rasa macam kurang dipercayai pulak. Amboi-amboi engko orang. Part adik-adik, aku tolong apa yang patut, tolong gelak. Kitorang ni nak kata suka puji-pujian dalam ahli keluarga memang nak dengar, payah sangat la. Itu yang bila kena puji tak tertahan nak gelak. Tak sabar nak tengok hadiah apa yang istimewa sangat dalam kotak yang abang bagi.

Buka-buka je ahaaa!!!




Terharu beb. Pergh terharu gua. Tak sangka betapa sayangnya seorang abang pada adik-adiknya. Sob sob sob. Dalam kotak tu ada dua helai tudung warna pink dan biru gelap, stokin dengan stongan. Beberapa minggu yang lepas dia ada tegur adik-adik pakai stokin, pakai stongan siap belikan stokin dan stongan (stokin tangan) untuk cover lengan sebab kadang-kadang kalau nak makan mesti terselak nampak lengan. Dah lama dah dia tegur sejak tahun lepas lagi. Aku faham kenapa dia buat macam tu. Bila aku balik kampung aku selalu perhati samada adik aku pakai stokin kalau keluar rumah. Alhamdulillah ada perubahan. Tak ape perlahan-lahan. Nak berubah perlukan masa. Biar sikit-sikit perlahan-lahan tapi sentiasa istiqamah.

Image : http://shahera-zahari.blogspot.com/2012/02/fashion-islam.html


Thank you abang. Semoga abang dimurahkan rezeki, berjaya dalam hidup, sentiasa tenang dan optimis dan dijodohkan dengan wanita yang solehah, penyejuk mata, penenang hati yang dapat melahirkan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah juga. Doaku sentiasa mengiringimu. Ameen. InshaAllah. 
 
Ok la nak balik dah. As Salam.



Cinta Kerana Allah

14.4.15


Assalamualaikum. 

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang. 
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.


Oleh kerana aku dah nak start kerja dan tak sempat nak tulis entry apa-apa, jadi aku copy artikel yang sedikit sebanyak membuka mata aku apa itu cinta kerana Allah.

-------------------------♥----------------------

Pepatah arab ada menyebut semua orang mengaku kekasih Laila tetapi Laila sendiri tidak mengakuinya. Ramai orang kerap kali terjatuh dalam perangkap cinta dan terpalit dengan noda dan fitnahnya apabila Si Dia, baik lelaki mahupun perempuan mengungkapkan kata-kata hikmat yang berbunyi 

“Aku cintakan diri-Mu kerana Allah !”

Aduh ! Perkataan yang indah tetapi kerap disalah guna.

Jika kaca yang dipegang maka akan pecah kerana jatuh terhempas, jika kita sedang berdiri akan segera ingin mencari tempat duduk dan jika kita tengah duduk akan segera mahu berdiri dan mencari udara segar guna memaksa oksigen masuk ke dalam tubuh kerana sesak dan berat di dada sehingga menyukarkan pernafasan.

Jantung berdegup laju dan tangan menjadi sejuk.

Itulah tanda-tanda awal virus cinta sudah mula berjangkit dan sedang menular ke dalam badan dan hanya akan dapat dilegakan dengan berdekatan dengan orang yang dicintai.

Lalu apa yang harus dilakukan ? Pasrah dan menerima cinta kerana ianya adalah kerana Allah seperti yang diucapkan atau berhenti dahulu dan meneliti ucapan tersebut benarkah ia cinta dari Allah atau merupakan salah satu dari jerangkap samar syaitan ?

Firman Allah SWT : Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah (kebenarannya) dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)

Dalam Islam, kita disuruh memeriksa dan menilai apakah benar setiap sesuatu ucapan atau khabar yang disampaikan sebelum mengambil tindakan atau membuat keputusan. Hal ini disebut sebagai konsep “tabayun” atau bermaksud mencari penjelasan atau keterangan.

Hal ini amatlah penting agar kita tidak ditipu atau terjebak dengan perangkap Iblis yang sedang menanti di hujung jalan untuk memancing kita ke dalam neraka bersama-sama dengannya. Sebelum membuat keputusan apakah akan diserahkan tubuh badan, hati dan perasaan maka lebih baiklah dilakukan usaha memeriksa dan menyemak terlebih dahulu benarkah kalimah itu diucapkan iaitu: 

Aku cinta kepada Mu kerana Allah SWT !

Cinta kerana Allah SWT itu mempunyai satu kedudukan yang istimewa kerana di dalam hadis Abu Hurairah ra menyebut katanya Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : 

Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat: “Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka akan Aku beri naungan pada hari yang tiada naungan melainkan naunganKu.” (Riwayat Muslim)

Di dalam sebuah hadis yang lain, nabi salallahualaihiwassalam juga pernah bersabda : “Jika seseorang dari kamu mencintai saudaranya maka hendaklah dia memberitahunya.” (riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad serta Bukhari di dalam tarikhnya dengan makna yang sepertinya)

Kita juga disunnahkan untuk membalas ucapan cinta itu dengan doa yang berbunyi :

أحبك الله الذي أحببتني فيه

Maksudnya : “Semoga Allah mencintai kamu yang telah mencintaiku keranaNya.” (riwayat Abu Daud) 

Hadis-hadis berkenaan cinta ini begitu banyak sebab Islam ialah agama yang menitik-beratkan persoalan kasih sayang dan kehormonian sesama Insan. Namun kita masih perlu menilai dan meneliti apakah cinta yang dihulurkan itu benar-benar madu dan rezeki daripada Allah SWT atau sebenarnya ialah racun dan umpan dari syaitan.

Bukti Cinta kerana Allah 

Ada 5 bukti penting dan tanda utama yang dapat dikenal pada seseorang yang benar-benar mencintai kita kerana Allah SWT. Ini dapat dilihat dari hasil taddabur kita kepada ayat-ayat Al-Quran dan melalui penilaian kepada hadis-hadis nabawiyah.

Pertama :

1. DIA adalah seorang yang amat mencintai Allah

Adalah mustahil seseorang itu berkata dia mencintai kita kerana Allah SWT tetapi dalam masa yang sama dia amat jauh dari jalan Allah dan seringkali melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.

Cinta itu dibuktikan dengan perbuatan maka lelaki dan wanita yang mengatakan kepada anda bahawa dia mencintai kerana Allah juga akan membenci kerana Allah SWT dan membenci segala apa yang dimurkai oleh Allah SWT dari segala jenis dosa dan maksiat.

Nabi salallahualaihiwassalam bersabda : “Tiga perkara yang jika terdapat pada seseorang maka dia pasti akan merasai kemanisan Iman. Iaitu Dia mencintai Allah dan rasul-Nya lebih dari selainnya. Dia mencintai atau membenci sesuatu hanya kerana Allah dan dia amat membenci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia tidak suka dicampakkan ke dalam api.” (hadis riwayat Bukhari)

Lihatlah pada diri lelaki yang mencintai anda kerana Allah itu apakah dia seorang yang teguh agamanya, kukuh aqidahnya, penyabar, kuat tawakkal, selalu mencintai anak yatim dan membela yang lemah atau dia sebenarnya seorang yang hanya pandai berborak sahaja.

Lelaki yang soleh pasti akan kelihatan di masjid dan ketika ada orang yang berada dalam kesusahan maka disitulah dia akan dapat ditemukan.

Perkara yang sama terjadi kepada kepada lelaki yang benar-benar mahu mengenali para wanita muslimah solehah itu. Ianya tidak hanya dengan sekadar ucapan di bibir atau pada teks sms dan copy paste di blog dan Fb si gadis.

Lihatlah auratnya apakah ditutup, lihatlah peribadinya apakah terpelihara dan dijaga kemudian lihatlah pemikirannya apakah dia seorang Muslimah yang hidup untuk dirinya atau dia hidup untuk Allah SWT.

Caranya tidak susah. Mana-mana muslimah yang hidup untuk Allah akan sanggup menerima poligami dan menghormati hak-hak lelaki yang Allah berikan kepada mereka . Si DIA akan tunduk serta patuh kepada hukum Allah dan lebih banyak bertolak ansur serta berusaha memahaminya dari berusaha mempertikaikannya.

Jangan terleka dan tergoda oleh rupa dan pakaian kerana syaitan itu amat bijak dengan tipudaya dan jalan-jalan kesesatan. 

Kedua :

2. Cinta kerana Allah terbit dari sebab ketaatan

Pasti ada sebab si DIA cintakan kita kerana Allah dan apakah sebab-sebab itu adalah terhasil dari kerana ketaatan kita kepada Allah SWT atau kerana kemaksiatan kita kepada-Nya ?

Jika cinta yang diungkapkan itu adalah kerana ketaatan kita kepada Allah SWt maka ianya adalah jenis dari bahagian cinta-cinta yang suci dan datang atas kerana rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Ada wanita jatuh cinta kerana si lelaki itu kuat berdakwah dan menjadi Imam sukarela secara percuma. Ada lelaki terjatuh hati kerana melihat si wanita itu tegas dan teguh mempertahankan maruah dan auratnya dari dicabuli. Maka jenis-jenis cinta seperti itu memenuhi kehendak cinta yang dilakukan kerana Allah SWT.

Tanyakan SI DIA kerana apakah kamu mencintai saya ?

Jika jawapannya memenuhi jenis cinta yang berdasar dari ketaatan kepada Allah SWT maka ianya adalah dari Allah dan jika ianya berdasarkan dari sebab-sebab kejahatan dan kemaksiatan maka ianya dari syaitan.

Ini dapat diketahui dengan mudah jika kita sendiri menyedari akan kesalahan yang telah kita lakukan. Misalnya jika wanita itu tidak menjaga auratnya, tidak memelihara dirinya dari fitnah seperti tampil di khalayak ramai dalam rancangan TV menjadi wanita pilihan dengan bertabarruj dan “berposing kiri dan kanan” memaparkan kecantikan maka jika datang lelaki menghulurkan cinta kerana tertarik dan jatuh hati atas kecantikan itu maka ianya bukanlah dari ketaatan bahkan kemaksiatan dan berpunca dari kedegilan kita dalam mentaati syariat Allah SWT.

Wanita yang solehah tidak akan mendedahkan kecantikannya seperti lelaki yang bertaqwa tidak akan murah menampilkan kebaikan dirinya atau menunjuk-nunjuk kewarakan dan kesolehannya.

Tanyalah diri anda, apakah dosa atau ketaatan yang telah dilakukan sehingga melayakkan diri ini menerima ungkapan AKU CINTA DIRMU KERANA ALLAH !

Ketiga :

3. Mencintainya kembali menambah kebaikan dan kemuliaan serta mendekatkan kita kepada Allah

Orang-orang yang benar dalam cintaNya kepada Allah mereka ini mempunyai kelebihan dan merupakan orang-orang yang benar-benar beriman. Mencintai mereka itu nescaya akan memberikan kebaikan dan menambahkan kemuliaan serta menambahkan kedekatan kita dengan tuhan.

Ini disebabkan di dalam sebuah hadis dari jalan Abu Hurairah ra yang menyebutkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Jikalau Allah Ta’ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia pun memanggil Jibril lalu memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu (Wahai Jibril) si Fulan itu. Jibril pun lalu mencintainya, kemudian Jibril menyeru kepada seluruh penghuni langit seraya memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu semua (Wahai penghuni-penghuni langit) si Fulan itu. Maka para penghuni langit pun kemudian mencintainya. Setelah itu dijadikan seluruh penghuni bumi pun ikut menerimanya (mencintainya).” (hadis Muttafaq alaih)

Lihat dan perhatikanlah apakah di wajah orang yang mengatakan Aku cinta pada-Mu kerana Allah itu membuatkan anda teringat kepada ajaran Islam, kepatuhan kepada Allah SWT, kedahsyatan hari akhirat serta dosa dan pahala atau sebaliknya hanya mengundang kepada ingatan nafsu syahwat dan pelukan serta dakapan di atas tilam.

Cinta yang suci tidak akan mampu dibakar oleh api sebaliknya ia hanya akan memadamkan api demikianlah cinta yang sejati tidak akan datang kerana syahwat tetapi ianya pasti akan mampu memenuhi keperluannya. 

Keempat:

4. Cinta dan hubungan dengan Si DIA jauh dan terpelihara dari kelalaian dan dosa

Diantara ciri-ciri yang mustahak di dalam penilaian kebaikan seseorang ialah ianya tidak mengundang bahaya atau kemudharatan. Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda : “Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi)

Ini kerana tipu daya dan muslihat syaitan itu amat licik. Terkadang dia sengaja memalsukan kejahatan itu agar dilihat sebagai kebaikan atau kemuliaan. 

Syaitan itu sendiri tahu untuk mengoda orang yang soleh itu tidak harus dengan maksiat dan kejahatan tetapi digoda dengan kebaikan dan kezuhudan agar si soleh itu menjadi sesat kerana riya’ atau ujub (kagum)dan ghurur (tertipu) dengan dirinya sendiri. 

Mujahid bin Abi Mu'ammar meriwayatkan bahawa suatu hari pernah ada seseorang yang memuji seorang pemimpin. Kemudian Miqdad ibnul-Aswad pun menaburkan tanah ke mukanya, lalu berkata:"Rasulullah memerintahkan kami untuk menaburkan tanah kemuka orang yang suka memuji." (riwayat Muslim)

Imam Ibn Jauzi al-baghdadi dalam kitabnya Talbis Al-Iblis ada menyebutkan mengenai cara Iblis membelit ahli ibadah dan menjadikan mereka jauh daripada Allah melalui menampakkan kebaikan dan kelebihan diri mereka sehingga menjadi ujub dan kagum atau ibadah mereka lalu menjadi lalai kepada Allah dalam keadaan mereka menyangka bahawa mereka itu sedang beribadah. 

Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : "Kamu tidak akan selamat hanya oleh amalanmu sahaja." (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila anda berhadapan dengan lelaki atau wanita yang mengucapkan kata-kata cinta yang suci menggunakan nama Allah SWT maka lihatlah apakah ianya membawa fitnah dan kelalaian atau memberikan manfaat kebaikan dan menjauhkan diri dari dosa. 

Ramai orang terkena belitan syaitan apabila terpedaya kononnya bercinta kerana Allah SWT namun apabila sudah ber“couple” dan bercinta semua larangan Allah dilanggarnya.

Bertudung labuh dan berkopiah tetapi berdua-duaan ditempat yang tidak diredhai Allah kerana cinta dan perasaan akhirnya syariat Allah menjadi gadaian.

Ada orang yang baik, lelaki muslim dan wanita yang muslimah pada asalnya mahu bercinta kerana Allah tetapi dipertengahan jalan mereka ditipu oleh syaitan. Akhirnya kerana sudah pun terlanjur berpegangan tangan, bercium dan melakukan maksiat ringan masing-masing berpendapat kita sudah tiada jalan kembali kecuali terus terjebak dalam hubungan haram ini.

Allah itu maha pengasih dan pengampun, setiap kali terlanjur dan tersilap dalam perjalanan maka segeralah lakukan U-TURN sementara nyawa masih dikandung badan. Pintu taubat sentiasa terbuka dan segeralah rayu dan memohon keampunan daripada-Nya.

Janganlah terpedaya oleh syaitan yang sentiasa merayu peluang kedua dari manusia agar sekali lagi melakukan dosa. Sekali lagi sahaja, Cuma sekali lagi katanya yang merayu supaya terus melakukan dosa lalu terperangkap di dalamnya. 


Kelima :

5. SI DIA tidak mengharapkan balasan kecuali dari Allah

Cinta yang suci itu ialah cinta yang hanya tahu memberi tetapi tidak mengharapkan apa-apa sebagai balasan. Mereka ini seperti yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud : Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.” (Al-Insan : 9)

Jika benar si DIA mencintai Mu kerana Allah maka bergembiralah kerana kalian benar-benar mahukan syurga dan tidak kisah dengan siapa berakhirnya hubungan ini. Apakah dia menjadi milikmu atau kamu menjadi miliknya hal itu bukanlah isunya tetapi apakah Si DIA dan kamu masing-masing beroleh kasih sayang dan keampunan dari Yang Maha Esa.

Sabda nabi salallahualaihiwassalam : “ Barangsiapa yang mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah serta memberi kerana Allah atau menghalang kerana Allah maka telah sempurnalah Imannya.” (hadis riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh Syeikh Albani)

Lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah SWT lebih takutkan Allah dan lebih mencintai Allah dari diri mereka sendiri dan secara pastinya mereka mencintai satu sama lain hanya semata-mata kerana hubungan masing-masing dengan Allah SWT.

Lelaki yang beriman dan benar-benar mengasihi seorang gadis kerana Allah akan sentiasa mahu wanita itu terpelihara dari dosa dan mahukan kebaikan serta rahmat Allah SWT ke atasnya

Jika dia mahu mengahwini gadis itu maka hasratnya itu adalah kerana mahu melindunginya, mahu mengasihi dan memanfaatkannya di jalan Allah SWT. Adapun jika ada lelaki lain yang terlebih dahulu hadir dalam kehidupan wanita itu maka dia akan sentiasa mendoakannya dan mengharapkan kebaikan di antara kedua-duanya.

Hatinya Ikhlas dan hanya mengharapkan balasan dari Allah SWT. 

Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda :“Doa seorang muslim kepada saudaranya di belakang pengetahuan saudaranya pasti dimakbulkan. Di atas kepalanya akan ada malaikat yang menjaganya dan setiap kali dia berdoa untuk kebaikan kepada saudaranya itu maka malaikat pun ikut berkata “Amin” dan mendoakan supaya baginya juga mendapat serupa apa yang telah didoakan kepada saudaranya.” (riwayat Muslim)

Inilah sifat orang yang beriman dan menjadikan Allah sebagai matlamat dan tujuan. Mereka tidaklah menjadikan cinta kepada wanita, lelaki, teman dan kekasih mereka itu sebagai sekutu atau saingan dan tandingan kepada Allah SWT bahkan sebaliknya ia menjadi baja dan air yang menyuburkan keimanan mereka serta sokongan kepada ketaqwaan mereka.

Firman Allah yang bermaksud : “Dan (aku telah diperintah): "Hadapkanlah mukamu kepada agama dengan tulus dan ikhlas dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang musyrik.” (Yunus : 105)

Mereka inilah yang termasuk dalam hadis nabi yang bermaksud : “ Manusia yang paling bahagia di hari akhirat dengan syafaatku kelak ialah yang berkata “Lailahaillallah” Ikhlas daripada hati dan dirinya.” (hadis sahih riwayat Bukhari)

Syaitan tidak mampu menggoda mereka bahkan oleh wanita yang paling cantik jelita atau oleh lelaki yang paling kacak dan tampan sekalipun. Takala dikatakan oleh Syaitan tidak takutkan kamu jika jarang bertemu atau bersms dengan kekasihmu itu nanti dia akan mencari atau dipikat oleh lelaki lain ?

Orang ini akan berkata : “Alhamdulillah, daripada Allah kita datang dan kepada Allah-lah kita akan kembali. Jika benar begitu maka saya akan mempermudahkan urusannya, membantunya agar dapat menikahi gadis yang ku sayangi ini jika benar lelaki yang lain itu adalah yang terbaik untuknya.”

Sesungguhnya saya mencintainya hanya kerana ALLAH !

Artikel:http://ustaz.blogspot.com/2011/11/5-bukti-si-dia-cintakan-kita-kerana.html 


Buat bakal suamiku yang aku tidak pasti siapakah dia hanya Allah yang Maha Mengetahui, semoga sahaja aku tidak menjadi fitnah buat dirimu, kerana aku sedar akulah fitnah paling besar buat dirimu. Jadi kuatkan semangatmu dan jauhilah diriku. Aku harus menjauhkan diriku darimu kerana itu saja jalan yang terbaik untuk menjaga diriku dan dirimu dari terjatuh dalam perangkap syaitan. Apabila tiba masanya, lafazkan akad sebagai bukti cintamu. Kerana itulah sebaik-baik bukti cinta seorang lelaki kepada wanita.

As salam ~

 

Throw back. Love. Life

10.2.15

Assalamualaikum...Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang..

Waa dah lama sangat-sangat tak update blog yang dah bersawang dah dekat dua tahun. Bukan apa, sebab haritu cuba bukak blog tapi kena block pulak.. pasai pa ntah ceq pon tak tau.. =D Btw sekarang ni dah habis belajar sudah. Alhamdulillah dah selesai pengajian 3 tahun di UKM. Dan currently bekerja kat Kajang as a??? ahhha ini tak boleh bagitau nanti orang kata show off pulaks cehh macam misteri sangat job yang i dapat kan, tapi yang penting ada berkaitan dengan IT dan inshaALLAH kerja yang HALAL.. Dimana? biarlah rahsia.. Kali terakhir update blog ni dua tahun lalu tahun 2012 kan.. Memang pada siapa-siapa yang follow blog ni tau apa yang dah berlaku pada aku dulu. Sekarang setelah dua tahun berlalu banyak yang dah berubah dalam hidup aku..

Dari seorang wanita yang kebudak-budakkan telah bertukar menjadi wanita matang la kononnya.. Dari seorang insan yang biasa-biasa sudah menjadi superwoman ( I dah pandai bawa kereta uolls berdesup...). dari seorang wanita yang sempoi menjadi seorang wanita yang mula menjaga penampilannya terutama aurat sebagai seorang wanita. Semua perubahan ini berlaku oleh kerana perjalanan hidup yang penuh liku, duri dan ranjau =) semangat harus kuat, hati kena kental ~

Ok mesti orang tertanya-tanya apa yang berlaku pada aku yang dah lama menyepi, yaaa aku masih orang yang sama macam dulu dan masih belum berkahwin hee~ bila dicongak-congak dah 27 tahun dah hidup di muka bumi ciptaan ALLAH. Alhamdulillah masih diberi kesempatan oleh Allah untuk terus bernafas dengan segala nikmat dan rezeki yang dikurniakan oleh-Nya dan juga masih diberi kesihatan yang baik dalam menghadapi dugaan dan ujian-Nya.. Alhamdulillah syukur pada-Mu..

Bila bincang soal jodoh siapa yang tak risau bila umur dah menjangkau 27 tahun, ramai kawan-kawan seangkatan yang dah kahwin, dah dapat anak. Jeles tau. Tapi tidak mengapa Allah kan ada, Dia akan merancang yang baik-baik untuk hamba-Nya. Soal cinta ni memang tak dapat lari dalam hati seseorang kerana itulah fitrah yang diciptakan dan dikurniakan dalam hati-hati manusia oleh Maha Pencipta.  Dulu yaa sedia maklum yang aku pernah bersama dengan seseorang. Dan seseorang itu tiada lagi di dunia ini. Masih ingat dan tak kan pernah lupa.

Sejak pemergian si dia, banyak benda yang berubah. Mahu menjadi wanita terbaik. Susah ke nak berubah?? tak susah laa.. asalkan niat kena betul berubah kerana Allah, bukan kerana sanjungan dari manusia. Sejujurnya, bila terjadi sesuatu pada orang yang kita sayang, automatically kita akan tersedar orang yang kita sayang bukan milik kita tapi milik Allah. Begitu juga aku.

Kematian menyedarkan aku, ajal semakin dekat dan harus bersiap sedia untuk ke muka pengadilan. Bukan pergi court ye. Tapi berhadapan dengan Allah. Kalau dosa menggunung tinggi apa nak jawab pada Allah?? Jadi berubah sebelum terlambat. Aku mula perbaiki cara berpakaian, solat, perbaiki sikap dan semuanya. Tetapi sebagai seorang manusia tak terlepas dari melakukan kesalahan. Saat iman turun aku cuba muhasabah diri dan berusaha untuk ubah kesilapan itu supaya tidak berulang.

Saat-saat aku kesedihan dengan pemergian teman dan sahabat yang aku kira terbaik dalam hidup aku. Aku sentiasa berdoa supaya suatu hari nanti aku akan dikurniakan seseorang yang lebih baik dari sebelumnya. Dalam pencarian  teman sejati, banyak kali jatuh bangunnya. Bertemu dengan lelaki yang salah. Dalam masa yang sama niat untuk berubah menjadi wanita terbaik untuk lelaki yang baik itu masih tinggi dalam diri. Tak pernah putus asa. Tapi sebagai seorang manusia terkadang iman turun dan naik. Masih lemah.

Manusia. Itulah selalu alpa.

Dulu bagi aku ber'couple' atau istilah lainnya berpasangan sangat indah dan sangat menyeronokkan kerana ada seseorang yang sudi untuk mengambil berat, sayang, mencintai dan sentiasa bersama tidak kira sedih, gembira, susah atau senang. Ya memang seronok kalau sudah berkahwin tapi yang belum berkahwin bagaimana?? Ternyata aku silap. Sesungguhnya perancangan Allah lebih baik dan setiap yang berlaku ada hikmah di sebalik. Dia telah pertemukan aku dengan seseorang yang telah banyak menyedarkan aku tentang perhubungan antara lelaki dan wanita.

Pada pemulaan dalam berkawan perbincangan kami lebih kepada soal kehidupan tetapi apabila perasaan itu mula terbit dalam hati. Dia mengambil keputusan untuk memutuskan sebarang bentuk perhubungan untuk sementara waktu sehingga tiba waktunya atau melainkan ada hal penting yang ingin dibincangkan. Maksud disini mempunyai hubungan tetapi tidak berhubung. Aku akui wanita adalah fitnah terbesar lelaki. Harus berjaga-jaga dengan godaan syaitan.

Bait-bait katanya :

Bagaimana mungkin untuk mencintai seseorang sekiranya cinta itu melebihi cinta kepada Allah dan Rasul?? 

Bagaimana mahu belas ehsan Allah dalam sesuatu perhubungan sekiranya kita tidak menjaganya sebelum mendirikan rumah tangga?? 

Bagaimana mahu pernikahan yang dirahmati Allah sekiranya sebelum bernikah kita melakukan perkara haram yang mendatangkan murka Allah. 


Sejak dari itu aku belajar bagaimana mahu dicintai dan mencintai kerana Allah. Aku sedar mencintai seseorang kerana Allah tidak akan wujud selagi mana kita belum mencintai-Nya. Memang susah. Terkadang hati mengusik rindu, untuk mengawal fitrah perasaan itu sendiri sangatlah sukar. Hanya doa yang dapat aku titipkan. Biarlah perasaan itu diluahkan pada Allah kerana Dia yang mengurniakan perasaan itu bukan??

Dan kini aku dapat mengawal perasaan itu kerana masih banyak yang perlu difikirkan terutamanya dalam memperbaiki hubungan dengan Allah dan belajar untuk mencintai Allah sebelum mahu mendapat cinta insan walaupun agak sukar tetapi aku akan berusaha sedaya mampu. Dengan cara ini aku tidak akan kecewa sekiranya aku tidak berjodohan dengan si dia. Seorang pencinta selagi belum bernikah tidak akan mungkin meluahkan pada orang yang dicintai kerana ingin menjaga kesucian cinta.

Jadi dengan siapa, bila dan dimana jodohku hanya Allah yang lebih mengetahui. Tidak perlu terlalu berharap kerana aku tak tahu sampai bila aku diberi nyawa oleh Allah mungkin sehingga esok, lusa atau sampai waktu yang ditetapkan oleh-Nya. hanya mampu berdoa dan terus berdoa semoga diberi jodoh yang terbaik. Sekiranya si dia adalah jodoh yang terbaik untukku InshaAllah akan dijodohkan bersama~ Usaha. Doa. Tawakal.
 
S Pink Premium Pointer