Tak pandai baca Al-Quran

8.7.15


Assalamualaikum.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang.


Tadi aku terbuka satu artikel dari satu blog yang menceritakan tentang kisah seorang suami yang tidak pernah berpeluang belajar mengaji Al-Quran ketika dia masih kecil dan Alhamdulillah Allah telah membuka hatinya untuk belajar membaca dan mengkaji Al-Quran pada usia separuh abad yang diceritakan oleh isterinya. Sungguh kuat azam si suami untuk belajar membaca Al-Quran membuang rasa malu pada isteri dan anak-anak. Bagi yang masih tidak tahu membaca Al-Quran masih belum terlewat sebelum maut datang menjemput. Jangan ada rasa malu untuk belajar.

Aku teringat masa usia aku 5 tahun, guru yang mengajar aku cukup tegas. Sebelum aku mula belajar mengaji Al-Quran, aku belajar mengenal huruf dari muqaddam. Setelah selesai mengenal huruf, aku mula belajar membaca Al-Quran. Susah, cukup susah. Walaupun kesalahan hanya sedikit, guru tidak membenarkan aku membaca di mukasurat seterusnya. Jika orang lain Al-Quran itu boleh dihabiskan dalam masa beberapa bulan. Bayangkan aku pernah membaca mukasurat yang sama berkali-kali dalam tempoh lebih dari seminggu. Sehinggakan aku pernah menangis kerana aku tidak dapat membaca Al-Quran secara lancar dengan tajwid yang betul. Kemudian, aku tekad untuk lebih banyak bertanya kepada guru aku dan mengambil segala tegurannya supaya aku dapat memperbaiki bacaan aku.

Selesai mengaji, selalunya guru aku akan mengajar ilmu tajwid Al-Quran. Setelah beberapa bulan barulah aku dapat membaca Al-Quran dengan lancar. Beberapa tahun selepas habis sekolah rendah, aku dah tak sentuh Al-Quran. Apalagi nak baca Al-Quran. Teruk kan?? Ya aku memang teruk. Teruk sebagai orang islam. Sehinggalah aku berumur awal 20-an. Ditakdirkan Allah aku kehilangan seseorang yang agak rapat denganku semasa aku belajar di universiti. Pemergiannya memberi impak yang besar dalam hidup aku. Aku mula mengubah cara hidupku. Dari segi pemakaian, sikap, pergaulan dan seterusnya memperbaiki amal untuk bekalan di 'sana' nanti. Walaupun belum cukup sempurna dan masih merangkak-rangkak mencari hala tuju tapi aku yakin setiap usaha pasti akan ada hasilnya nanti walaupun perlahan-lahan. In Sha Allah.

Satu benda yang buat aku sedih bila aku mula membaca Al-Quran, aku langsung tak dapat nak baca walaupun sepotong ayat dengan lancar. Tergagap-gagap. Tersekat-sekat. Bacaan aku tunggang langgang. Tajwid entah kemana. Aku terus tutup Al-Quran. Aku sedih sangat dengan diri aku. Malu pada Allah dan orang sekeliling. Mengaku islam tapi baca Al-Quran tak lancar.

Pernah sekali, ketika itu aku berada di tahun akhir universiti harus menyiapkan satu projek akhir. Aku membina satu aplikasi untuk kanak-kanak belajar berdoa. Masa bentang projek akhir pada salah seorang penilai, dia mendengar bacaan doa-doa dari voice over suara aku sendiri. Tiba-tiba dia bertanya:

"Awak pernah sekolah agama ke??"
"Tak la saya sekolah biasa je. Saya tak pernah sekolah agama pun.."
"Tapi kan sebutan dan bacaan awak bagus.."

Sejak dari hari itu, agak lama jugak aku nak bermula dari awal untuk buka, baca dan fahami Al-Quran. Langkah pertama adalah aku cari balik buku tajwid yang aku pernah beli dulu. Aku flash back balik apa yang pernah aku belajar dulu. Disebabkan dulu aku memang dah pernah belajar tajwid Al-Quran dari guru jadi tak susah untuk aku faham. Walaupun agak susah jugak nak baca dengan lancar, aku usaha semampu yang boleh. Aku juga selalu dengar alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari ustaz-ustaz. Jadi sedikit sebanyak membantu aku untuk memperbaiki bacaan aku. Alhamdulillah sekarang aku dah dapat baca Al-Quran dengan agak lancar.

Bagi yang masih tak pandai baca Al-Quran, jangan putus asa. Masih ada masa lagi untuk kita semua belajar yang penting usaha untuk belajar. Jangan terus bersedih dengan kekurangan diri sampaikan perasaan down tu menyebabkan kita putus asa untuk belajar. Jangan terlalu banyak alasan. Nak kata susah, semua benda pun susah. Ada yang belajar baca Al-Quran sejak kecik dengan mak ayah siap kena pukul lagi. Ada inisiatif lain untuk belajar. Boleh pergi ke kelas-kelas yang mana ada guru yang mengajar bagaimana membaca Al-Quran serta dengan ilmu tajwid sekali. Malu tu kekangan terbesar untuk kita belajar membaca Al-Quran. Dengan perasaan malu itu lah yang membuatkan kita malu nak bermula dari bawah.

Bab ni aku memang tak boleh nak nasihat banyak-banyak sebab aku pun lalui perasaan yang sama cuma bezanya, aku sedikit sebanyak telah didedahkan dengan bacaan dan ilmu tajwid Al-Quran sejak aku kecil lagi cuma bila dah ditinggalkan Al-Quran begitu lama lidah aku jadi kelu dan keras. Betul kata orang bila kita tinggalkan membaca Al-Quran, lidah kita jadi keras. Nak baca satu ayat pun cukup payah. Aku pun teringin nak dapatkan guru agama yang boleh guide dan monitor bacaan aku yang aku rasa banyak lagi cacat celanya. In sha Allah aku akan usaha.

Oh ya kalau boleh bacalah Al-Quran dengan terjemahannya sekali sebab kalau baca saja tapi tak faham makna seolah-olah kita membaca satu buku tapi tak faham storyline buku tersebut. Jadi tak ada input yang kita dapat dari apa yang kita baca. Kalau kita baca sambil merenung segala makna ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan Allah baru kita dapat faham apa tujuan kita hidup dekat dunia.

Aku ceritakan semua ni bukan untuk membuka aib atau mendabik dada, ianya hanya sekadar sebuah bingkisan hidup yang mana terlalu banyak kekurangan diri sebagai renungan bersama. Jadi sesiapa yang nak mula belajar, good luck and do the best!! Oklah selamat berpuasa.

As Salam.


 
S Pink Premium Pointer