Assalamualaikum.
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
Oleh kerana aku dah nak start kerja dan tak sempat nak tulis entry apa-apa, jadi aku copy artikel yang sedikit sebanyak membuka mata aku apa itu cinta kerana Allah.
-------------------------♥♥♥----------------------
Pepatah
arab ada menyebut semua orang mengaku kekasih Laila tetapi Laila
sendiri tidak mengakuinya. Ramai orang kerap kali terjatuh dalam
perangkap cinta dan terpalit dengan noda dan fitnahnya apabila Si Dia,
baik lelaki mahupun perempuan mengungkapkan kata-kata hikmat yang
berbunyi
“Aku cintakan diri-Mu kerana Allah !”
“Aku cintakan diri-Mu kerana Allah !”
Aduh ! Perkataan yang indah tetapi kerap disalah guna.
Jika
kaca yang dipegang maka akan pecah kerana jatuh terhempas, jika kita
sedang berdiri akan segera ingin mencari tempat duduk dan jika kita
tengah duduk akan segera mahu berdiri dan mencari udara segar guna
memaksa oksigen masuk ke dalam tubuh kerana sesak dan berat di dada
sehingga menyukarkan pernafasan.
Jantung berdegup laju dan tangan menjadi sejuk.
Itulah
tanda-tanda awal virus cinta sudah mula berjangkit dan sedang menular
ke dalam badan dan hanya akan dapat dilegakan dengan berdekatan dengan
orang yang dicintai.
Lalu
apa yang harus dilakukan ? Pasrah dan menerima cinta kerana ianya
adalah kerana Allah seperti yang diucapkan atau berhenti dahulu dan
meneliti ucapan tersebut benarkah ia cinta dari Allah atau merupakan
salah satu dari jerangkap samar syaitan ?
Firman Allah SWT : “Wahai
orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa
suatu berita, maka periksalah (kebenarannya) dengan teliti, agar kamu
tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui
keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al-Hujurat: 6)
Dalam
Islam, kita disuruh memeriksa dan menilai apakah benar setiap sesuatu
ucapan atau khabar yang disampaikan sebelum mengambil tindakan atau
membuat keputusan. Hal ini disebut sebagai konsep “tabayun” atau
bermaksud mencari penjelasan atau keterangan.
Hal
ini amatlah penting agar kita tidak ditipu atau terjebak dengan
perangkap Iblis yang sedang menanti di hujung jalan untuk memancing kita
ke dalam neraka bersama-sama dengannya. Sebelum membuat keputusan
apakah akan diserahkan tubuh badan, hati dan perasaan maka lebih baiklah
dilakukan usaha memeriksa dan menyemak terlebih dahulu benarkah kalimah
itu diucapkan iaitu:
Aku cinta kepada Mu kerana Allah SWT !
Cinta kerana Allah SWT itu mempunyai satu kedudukan yang istimewa kerana di dalam hadis Abu Hurairah ra menyebut katanya Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda :
“Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat: “Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka akan Aku beri naungan pada hari yang tiada naungan melainkan naunganKu.” (Riwayat Muslim)
“Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat: “Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka akan Aku beri naungan pada hari yang tiada naungan melainkan naunganKu.” (Riwayat Muslim)
Di
dalam sebuah hadis yang lain, nabi salallahualaihiwassalam juga pernah
bersabda : “Jika seseorang dari kamu mencintai saudaranya maka hendaklah
dia memberitahunya.” (riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad serta
Bukhari di dalam tarikhnya dengan makna yang sepertinya)
Kita juga disunnahkan untuk membalas ucapan cinta itu dengan doa yang berbunyi :
أحبك الله الذي أحببتني فيه
Maksudnya : “Semoga Allah mencintai kamu yang telah mencintaiku keranaNya.” (riwayat Abu Daud)
Hadis-hadis
berkenaan cinta ini begitu banyak sebab Islam ialah agama yang
menitik-beratkan persoalan kasih sayang dan kehormonian sesama Insan.
Namun kita masih perlu menilai dan meneliti apakah cinta yang dihulurkan
itu benar-benar madu dan rezeki daripada Allah SWT atau sebenarnya
ialah racun dan umpan dari syaitan.
Bukti Cinta kerana Allah
Ada
5 bukti penting dan tanda utama yang dapat dikenal pada seseorang yang
benar-benar mencintai kita kerana Allah SWT. Ini dapat dilihat dari
hasil taddabur kita kepada ayat-ayat Al-Quran dan melalui penilaian
kepada hadis-hadis nabawiyah.
Pertama :
1. DIA adalah seorang yang amat mencintai Allah
Adalah
mustahil seseorang itu berkata dia mencintai kita kerana Allah SWT
tetapi dalam masa yang sama dia amat jauh dari jalan Allah dan
seringkali melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT.
Cinta
itu dibuktikan dengan perbuatan maka lelaki dan wanita yang mengatakan
kepada anda bahawa dia mencintai kerana Allah juga akan membenci kerana
Allah SWT dan membenci segala apa yang dimurkai oleh Allah SWT dari
segala jenis dosa dan maksiat.
Nabi
salallahualaihiwassalam bersabda : “Tiga perkara yang jika terdapat
pada seseorang maka dia pasti akan merasai kemanisan Iman. Iaitu Dia
mencintai Allah dan rasul-Nya lebih dari selainnya. Dia mencintai atau
membenci sesuatu hanya kerana Allah dan dia amat membenci untuk kembali
kepada kekufuran seperti dia tidak suka dicampakkan ke dalam api.”
(hadis riwayat Bukhari)
Lihatlah
pada diri lelaki yang mencintai anda kerana Allah itu apakah dia
seorang yang teguh agamanya, kukuh aqidahnya, penyabar, kuat tawakkal,
selalu mencintai anak yatim dan membela yang lemah atau dia sebenarnya
seorang yang hanya pandai berborak sahaja.
Lelaki
yang soleh pasti akan kelihatan di masjid dan ketika ada orang yang
berada dalam kesusahan maka disitulah dia akan dapat ditemukan.
Perkara
yang sama terjadi kepada kepada lelaki yang benar-benar mahu mengenali
para wanita muslimah solehah itu. Ianya tidak hanya dengan sekadar
ucapan di bibir atau pada teks sms dan copy paste di blog dan Fb si
gadis.
Lihatlah
auratnya apakah ditutup, lihatlah peribadinya apakah terpelihara dan
dijaga kemudian lihatlah pemikirannya apakah dia seorang Muslimah yang
hidup untuk dirinya atau dia hidup untuk Allah SWT.
Caranya
tidak susah. Mana-mana muslimah yang hidup untuk Allah akan sanggup
menerima poligami dan menghormati hak-hak lelaki yang Allah berikan
kepada mereka . Si DIA akan tunduk serta patuh kepada hukum Allah dan
lebih banyak bertolak ansur serta berusaha memahaminya dari berusaha
mempertikaikannya.
Jangan terleka dan tergoda oleh rupa dan pakaian kerana syaitan itu amat bijak dengan tipudaya dan jalan-jalan kesesatan.
Kedua :
2. Cinta kerana Allah terbit dari sebab ketaatan
Pasti
ada sebab si DIA cintakan kita kerana Allah dan apakah sebab-sebab itu
adalah terhasil dari kerana ketaatan kita kepada Allah SWT atau kerana
kemaksiatan kita kepada-Nya ?
Jika
cinta yang diungkapkan itu adalah kerana ketaatan kita kepada Allah SWt
maka ianya adalah jenis dari bahagian cinta-cinta yang suci dan datang
atas kerana rahmat daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya.
Ada
wanita jatuh cinta kerana si lelaki itu kuat berdakwah dan menjadi Imam
sukarela secara percuma. Ada lelaki terjatuh hati kerana melihat si
wanita itu tegas dan teguh mempertahankan maruah dan auratnya dari
dicabuli. Maka jenis-jenis cinta seperti itu memenuhi kehendak cinta
yang dilakukan kerana Allah SWT.
Tanyakan SI DIA kerana apakah kamu mencintai saya ?
Jika
jawapannya memenuhi jenis cinta yang berdasar dari ketaatan kepada
Allah SWT maka ianya adalah dari Allah dan jika ianya berdasarkan dari
sebab-sebab kejahatan dan kemaksiatan maka ianya dari syaitan.
Ini
dapat diketahui dengan mudah jika kita sendiri menyedari akan kesalahan
yang telah kita lakukan. Misalnya jika wanita itu tidak menjaga
auratnya, tidak memelihara dirinya dari fitnah seperti tampil di
khalayak ramai dalam rancangan TV menjadi wanita pilihan dengan
bertabarruj dan “berposing kiri dan kanan” memaparkan kecantikan maka
jika datang lelaki menghulurkan cinta kerana tertarik dan jatuh hati
atas kecantikan itu maka ianya bukanlah dari ketaatan bahkan kemaksiatan
dan berpunca dari kedegilan kita dalam mentaati syariat Allah SWT.
Wanita
yang solehah tidak akan mendedahkan kecantikannya seperti lelaki yang
bertaqwa tidak akan murah menampilkan kebaikan dirinya atau
menunjuk-nunjuk kewarakan dan kesolehannya.
Tanyalah
diri anda, apakah dosa atau ketaatan yang telah dilakukan sehingga
melayakkan diri ini menerima ungkapan AKU CINTA DIRMU KERANA ALLAH !
Ketiga :
3. Mencintainya kembali menambah kebaikan dan kemuliaan serta mendekatkan kita kepada Allah
Orang-orang
yang benar dalam cintaNya kepada Allah mereka ini mempunyai kelebihan
dan merupakan orang-orang yang benar-benar beriman. Mencintai mereka itu
nescaya akan memberikan kebaikan dan menambahkan kemuliaan serta
menambahkan kedekatan kita dengan tuhan.
Ini
disebabkan di dalam sebuah hadis dari jalan Abu Hurairah ra yang
menyebutkan bahawa Nabi Salallahualaihiwassalam pernah bersabda : “Jikalau
Allah Ta’ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia pun memanggil
Jibril lalu memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah
olehmu (Wahai Jibril) si Fulan itu. Jibril pun lalu mencintainya,
kemudian Jibril menyeru kepada seluruh penghuni langit seraya
memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu semua
(Wahai penghuni-penghuni langit) si Fulan itu. Maka para penghuni
langit pun kemudian mencintainya. Setelah itu dijadikan seluruh penghuni
bumi pun ikut menerimanya (mencintainya).” (hadis Muttafaq alaih)
Lihat
dan perhatikanlah apakah di wajah orang yang mengatakan Aku cinta
pada-Mu kerana Allah itu membuatkan anda teringat kepada ajaran Islam,
kepatuhan kepada Allah SWT, kedahsyatan hari akhirat serta dosa dan
pahala atau sebaliknya hanya mengundang kepada ingatan nafsu syahwat dan
pelukan serta dakapan di atas tilam.
Cinta
yang suci tidak akan mampu dibakar oleh api sebaliknya ia hanya akan
memadamkan api demikianlah cinta yang sejati tidak akan datang kerana
syahwat tetapi ianya pasti akan mampu memenuhi keperluannya.
Keempat:
4. Cinta dan hubungan dengan Si DIA jauh dan terpelihara dari kelalaian dan dosa
Diantara
ciri-ciri yang mustahak di dalam penilaian kebaikan seseorang ialah
ianya tidak mengundang bahaya atau kemudharatan. Daripada Abu Said
Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda : “Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi)
Ini
kerana tipu daya dan muslihat syaitan itu amat licik. Terkadang dia
sengaja memalsukan kejahatan itu agar dilihat sebagai kebaikan atau
kemuliaan.
Syaitan
itu sendiri tahu untuk mengoda orang yang soleh itu tidak harus dengan
maksiat dan kejahatan tetapi digoda dengan kebaikan dan kezuhudan agar
si soleh itu menjadi sesat kerana riya’ atau ujub (kagum)dan ghurur
(tertipu) dengan dirinya sendiri.
Mujahid
bin Abi Mu'ammar meriwayatkan bahawa suatu hari pernah ada seseorang
yang memuji seorang pemimpin. Kemudian Miqdad ibnul-Aswad pun menaburkan
tanah ke mukanya, lalu berkata:"Rasulullah memerintahkan kami untuk menaburkan tanah kemuka orang yang suka memuji." (riwayat Muslim)
Imam
Ibn Jauzi al-baghdadi dalam kitabnya Talbis Al-Iblis ada menyebutkan
mengenai cara Iblis membelit ahli ibadah dan menjadikan mereka jauh
daripada Allah melalui menampakkan kebaikan dan kelebihan diri mereka
sehingga menjadi ujub dan kagum atau ibadah mereka lalu menjadi lalai
kepada Allah dalam keadaan mereka menyangka bahawa mereka itu sedang
beribadah.
Sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : "Kamu tidak akan selamat hanya oleh amalanmu sahaja." (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila
anda berhadapan dengan lelaki atau wanita yang mengucapkan kata-kata
cinta yang suci menggunakan nama Allah SWT maka lihatlah apakah ianya
membawa fitnah dan kelalaian atau memberikan manfaat kebaikan dan
menjauhkan diri dari dosa.
Ramai
orang terkena belitan syaitan apabila terpedaya kononnya bercinta
kerana Allah SWT namun apabila sudah ber“couple” dan bercinta semua
larangan Allah dilanggarnya.
Bertudung
labuh dan berkopiah tetapi berdua-duaan ditempat yang tidak diredhai
Allah kerana cinta dan perasaan akhirnya syariat Allah menjadi gadaian.
Ada
orang yang baik, lelaki muslim dan wanita yang muslimah pada asalnya
mahu bercinta kerana Allah tetapi dipertengahan jalan mereka ditipu oleh
syaitan. Akhirnya kerana sudah pun terlanjur berpegangan tangan,
bercium dan melakukan maksiat ringan masing-masing berpendapat kita
sudah tiada jalan kembali kecuali terus terjebak dalam hubungan haram
ini.
Allah
itu maha pengasih dan pengampun, setiap kali terlanjur dan tersilap
dalam perjalanan maka segeralah lakukan U-TURN sementara nyawa masih
dikandung badan. Pintu taubat sentiasa terbuka dan segeralah rayu dan
memohon keampunan daripada-Nya.
Janganlah
terpedaya oleh syaitan yang sentiasa merayu peluang kedua dari manusia
agar sekali lagi melakukan dosa. Sekali lagi sahaja, Cuma sekali lagi
katanya yang merayu supaya terus melakukan dosa lalu terperangkap di
dalamnya.
Kelima :
Kelima :
5. SI DIA tidak mengharapkan balasan kecuali dari Allah
Cinta
yang suci itu ialah cinta yang hanya tahu memberi tetapi tidak
mengharapkan apa-apa sebagai balasan. Mereka ini seperti yang disebutkan
oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud : “Sesungguhnya
kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan
Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan)
terima kasih.” (Al-Insan : 9)
Jika
benar si DIA mencintai Mu kerana Allah maka bergembiralah kerana kalian
benar-benar mahukan syurga dan tidak kisah dengan siapa berakhirnya
hubungan ini. Apakah dia menjadi milikmu atau kamu menjadi miliknya hal
itu bukanlah isunya tetapi apakah Si DIA dan kamu masing-masing beroleh
kasih sayang dan keampunan dari Yang Maha Esa.
Sabda
nabi salallahualaihiwassalam : “ Barangsiapa yang mencintai kerana
Allah dan membenci kerana Allah serta memberi kerana Allah atau
menghalang kerana Allah maka telah sempurnalah Imannya.” (hadis riwayat
Abu Daud dan disahihkan oleh Syeikh Albani)
Lelaki
dan wanita yang saling mencintai kerana Allah SWT lebih takutkan Allah
dan lebih mencintai Allah dari diri mereka sendiri dan secara pastinya
mereka mencintai satu sama lain hanya semata-mata kerana hubungan
masing-masing dengan Allah SWT.
Lelaki
yang beriman dan benar-benar mengasihi seorang gadis kerana Allah akan
sentiasa mahu wanita itu terpelihara dari dosa dan mahukan kebaikan
serta rahmat Allah SWT ke atasnya
Jika
dia mahu mengahwini gadis itu maka hasratnya itu adalah kerana mahu
melindunginya, mahu mengasihi dan memanfaatkannya di jalan Allah SWT.
Adapun jika ada lelaki lain yang terlebih dahulu hadir dalam kehidupan
wanita itu maka dia akan sentiasa mendoakannya dan mengharapkan kebaikan
di antara kedua-duanya.
Hatinya Ikhlas dan hanya mengharapkan balasan dari Allah SWT.
Nabi
Salallahualaihiwassalam bersabda :“Doa seorang muslim kepada saudaranya
di belakang pengetahuan saudaranya pasti dimakbulkan. Di atas kepalanya
akan ada malaikat yang menjaganya dan setiap kali dia berdoa untuk
kebaikan kepada saudaranya itu maka malaikat pun ikut berkata “Amin” dan
mendoakan supaya baginya juga mendapat serupa apa yang telah didoakan
kepada saudaranya.” (riwayat Muslim)
Inilah
sifat orang yang beriman dan menjadikan Allah sebagai matlamat dan
tujuan. Mereka tidaklah menjadikan cinta kepada wanita, lelaki, teman
dan kekasih mereka itu sebagai sekutu atau saingan dan tandingan kepada
Allah SWT bahkan sebaliknya ia menjadi baja dan air yang menyuburkan
keimanan mereka serta sokongan kepada ketaqwaan mereka.
Firman Allah yang bermaksud : “Dan
(aku telah diperintah): "Hadapkanlah mukamu kepada agama dengan tulus
dan ikhlas dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang musyrik.” (Yunus : 105)
Mereka inilah yang termasuk dalam hadis nabi yang bermaksud : “
Manusia yang paling bahagia di hari akhirat dengan syafaatku kelak
ialah yang berkata “Lailahaillallah” Ikhlas daripada hati dan dirinya.” (hadis sahih riwayat Bukhari)
Syaitan
tidak mampu menggoda mereka bahkan oleh wanita yang paling cantik
jelita atau oleh lelaki yang paling kacak dan tampan sekalipun. Takala
dikatakan oleh Syaitan tidak takutkan kamu jika jarang bertemu atau
bersms dengan kekasihmu itu nanti dia akan mencari atau dipikat oleh
lelaki lain ?
Orang
ini akan berkata : “Alhamdulillah, daripada Allah kita datang dan
kepada Allah-lah kita akan kembali. Jika benar begitu maka saya akan
mempermudahkan urusannya, membantunya agar dapat menikahi gadis yang ku
sayangi ini jika benar lelaki yang lain itu adalah yang terbaik
untuknya.”
Sesungguhnya saya mencintainya hanya kerana ALLAH !
Artikel:http://ustaz.blogspot.com/2011/11/5-bukti-si-dia-cintakan-kita-kerana.html
As salam ~
Buat bakal suamiku yang aku tidak pasti siapakah dia hanya Allah yang Maha Mengetahui, semoga sahaja aku tidak menjadi fitnah buat dirimu, kerana aku sedar akulah fitnah paling besar buat dirimu. Jadi kuatkan semangatmu dan jauhilah diriku. Aku harus menjauhkan diriku darimu kerana itu saja jalan yang terbaik untuk menjaga diriku dan dirimu dari terjatuh dalam perangkap syaitan. Apabila tiba masanya, lafazkan akad sebagai bukti cintamu. Kerana itulah sebaik-baik bukti cinta seorang lelaki kepada wanita.
As salam ~