Husnuzon atau Suuzon??

14.7.15


Assalamualaikum. 
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.

[Image: hadiahbunga.com]

Bersangka Buruk atau Suuzon

Hai uolss. Heh! Dah lama menyepi. Pernah tak sepanjang hidup banyak bersangka baik @ husnuzon pada orang lain. Kalau ya, syabas bete. Memang terbaik. Perkataan lawan kepada husnuzon adalah suuzon. Faham tak suuzon tu apa?? Bersangka buruk atau suuzon adalah menaruh curiga terhadap orang lain yang belum terbukti orang tersebut melakukan kesalahan. Apabila kita menuduh seseorang melakukan perkara yang tidak dia lakukan hukumnya adalah berdosa besar. Orang yang memfitnah saudara muslimnya yang lain seolah-olah memakan daging saudaranya yang telah mati dan perbuatan itu lebih buruk dari membunuh (membunuh orang yang tidak bersalah).

Sebagai contoh, pada bulan Ramadhan yang mulia, seorang pakcik ternampak seorang wanita cantik bertudung di kedai makan yang mana di hadapannya terdapat sebotol air. Dia mengomel sendirian : 

"Eee...namanya je pakai tudung tapi tak puasa.. puihh!!"

Kemudian pada masa yang sama ada seorang lelaki baru keluar dari tandas bersama seorang budak kecil. Lelaki tersebut adalah suami kepada wanita cantik bertudung bersama dengan anak mereka dalam lingkungan 3 tahun. Si ibu menghulurkan air pada si anak yang kehausan. Rupa-rupanya air tersebut adalah untuk anaknya. Tidak tahu hujung pangkal apa yang berlaku, terus bersangka buruk terhadap orang lain.

Suuzon bukan hanya berlaku pada orang biasa tetapi juga berlaku pada orang yang faham agama. Kita create satu situasi lain. Seorang wanita bertudung agak 'besar' berdiri sedang menunggu di stesen komuter. Ada seorang wanita melayu yang tidak bertudung melewatinya dan duduk di suatu tempat duduk. Terdetik dalam hatinya:  

"Pakaian ketat, seksi pulak tu. Perangai tak tahu la macam mana.."

Tanpa diduga wanita tadi dengan baik hatinya membantu seorang wanita tua yang sedang kepenatan dengan memberikan tempat duduk kepada wanita tua itu. Dia telah bersangka buruk terhadap sikap wanita tersebut hanya kerana pakaian yang dipakai olehnya.

Situasi lain, seorang lelaki agak berumur yang kacak bergaya sedang berjalan dengan seorang wanita muda dalam lingkungan 20-an sambil wanita itu memaut lengan lelaki tersebut. Agak menarik penampilannya. Mereka memasuki sebuah restoran. Orang sekeliling berbisik-bisik : 

"Sugar daddy ler tu. Gatalnya perempuan."
"Amboi dah tua ganyut pun merenyam dengan anak dara orang. Si perempuan tu pun sama."

Telefon wanita muda itu berdering. "Hello mama, nak pesan makanan apa?? Anis dengan daddy dekat restoran xyz ni.." Mungkin orang sekeliling tidak tahu betapa rapatnya hubungan seorang ayah dan anak tersebut kerana kemungkinan itulah satu-satunya anak yang dia ada. Kelihatannya mereka seperti pasangan kekasih tetapi sebenarnya bukan. 


Bersangka Baik pada Perkara Maksiat


Walaubagaimanapun bersangka baik pada perkara-perkara maksiat dan dosa adalah sama seperti kita bersubahat terhadap perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh seseorang. Ia juga secara tidak langsung akan menyebabkan kita menanggung saham dosa dari perbuatan buruk yang dilakukan oleh orang tersebut. Sebagai seorang islam kita harus mencegah segala perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh saudara sesama islam

"Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaannya) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya(secara lisan), dan jika ia tidak mampu jua, maka dengan hatinya (merasa tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah iman." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Sebagai contoh kita ternampak pasangan remaja ini sedang berpelukan dan berciuman di khalayak ramai tanpa segan silu. Tetapi kita ingin bersangka baik dengan perbuatan yang dilakukan oleh pasangan tersebut dengan mengatakan: 

"Jangan buruk sangka, mungkin mereka suami isteri."  

Sekiranya mereka suami isteri sekalipun, di dalam Islam mempamerkan perbuatan seperti bercium dan berpelukan di hadapan khalayak ramai adalah tidak wajar kerana ia hanya akan mengundang fitnah. Perbuatan tersebut juga tidak sesuai dilihat oleh kanak-kanak yang masih kecil. Jika kita tidak mengenali pasangan tersebut, mungkin kita hanya mampu menegur dengan lisan. Tetapi jika tidak mampu, tegurlah dengan hati. Mahu menegur sekalipun bukanlah dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun tetapi tegurlah atau doakan yang baik-baik untuk pasangan tersebut supaya mereka menjadi muslim yang lebih baik.

Memang kita tidak boleh bersangka baik terhadap perkara-perkara maksiat tetapi jangan pula kita mengeluarkan kata-kata hinaan dan makian dengan mengatakan: "Cuba tengok couple tu amboi syoknya bercium berpeluk sakan. Buruknya perangai. Kesian mak bapak dorang ni. Dapat anak perangai macam setan..!! Silap haribulan mengandung anak luar nikah. Lepastu campak anak dalam tong sampah..."

Tak perlu lah kita menjadi Tuhan yang boleh menentukan perkara yang akan terjadi selepasnya. Doakan saja yang baik-baik supaya mereka diberikan taufik hidayah dari Allah SWT. Sekiranya suatu hari Allah SWT memberi hidayah kepada pasangan tersebut, mungkin mereka menjadi hamba Allah yang lebih baik dari kita.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk" 
(Surah An-Nahl: ayat 125)

Bersangka Buruk yang Diharuskan

Tidak semua situasi kita kena bersangka baik. Ada juga situasi yang mengharuskan kita bersangka buruk. Contohnya sejak akhir-akhir ini terdapat banyak kejadian rogol yang berlaku di kawasan-kawasan perumahan yang kita dengar dari dada akhbar dan berita. Pada suatu hari sedang kita berjalan dari tempat letak kereta ke rumah, terdapat seorang lelaki yang agak mencurigakan sedang berdiri di suatu sudut yang agak gelap. Bukanlah mahu menuduh lelaki tersebut, tetapi kita harus mengambil sikap berjaga-jaga sekiranya ia dapat mengancam keselamatan diri kita.

Dalam hidup yang serba mencabar, mahu sentiasa bersangka baik memang agak susah. Aku tidak kata aku tidak pernah bersangka buruk. Pernah. Setiap manusia mesti ada melakukan kesalahan cuma yang membezakan adalah samada kita belajar dari kesilapan atau tidak. Dengan iman yang sedikit, aku bukanlah sesempurna muslimah yang lain. Aku menulis ini pun seolah-olah aku menegur diri aku sendiri. Mentarbiyah diri sendiri yang serba kekurangan. Sama-samalah kita berusaha untuk sentiasa bersangka baik. Bersangka baiklah walaupun dengan seorang pelacur. 

 Assalamualaikum.
 
 
S Pink Premium Pointer